|
Wan Ali Wan Nuh dan
Penulisan Sejarah Negeri Kelantan
Oleh: Wan Mohd Nasruddin Wan Abdullah
Telah
diceritakan oleh Allahyarham Wan Mansor Wan Sulaiman dan
dicatatkan oleh Wan Hazim Wan Abdullah
bahawa DYMM Sultan Muhammad IV pernah menitahkan Wan
Ali Wan Nuh dan Haji Nik Mahmud Haji Wan Ismail
iaitu Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja (setaraf Menteri
Besar sekarang) mengarang sebuah buku sejarah negeri
Kelantan. Buku tersebut dikatakan berjudul Ringkasan
Chetera Kelantan.
Berdasarkan kajian penulis, buku sejarah negeri Kelantan
yang boleh dikaitkan dengan Wan Ali Wan Nuh sebenarnya
adalah Hikayat Seri Kelantan dan bukannya
Ringkasan Chetera Kelantan. Ini adalah kerana pada
‘Pengenalan’ kepada buku Ringkasan Chetera Kelantan yang
diterbitkan pada 1934 itu, Dato’ Perdana sendiri
mencatatkan bahawa:
“Ringkasan Chetera Kelantan ini disalin daripada
tulisan peringatan Pak Wan Mahmud Menteri Besar
yang ditulis di dalam tahun 1197 Hijrah iaitu diambil
daripada perkataan Pak Bedolah (Abdullah) taulan kepada
Mandul Mis, duduknya di Kampung Kubang Garung ialah
daripada pemerintah yang di atas hingga kepada
pemerintah Sultan Muhammad (Sultan Mandul) dan
kemungkinan daripadanya hingga kepada Sultan Mansur
diringkaskan daripada karangan Nik Yusof (Nik Seri
Paduka) bin Nik Jid dan lain-lain.
Kami telah bandingkan beberapa naskah dengan
cermatnya, tetapi kami tidak dapat jalan yang lebih
bersih daripada yang kami aturkan di dalam beberapa
keping kertas ini.”
Berdasarkan keterangan di atas,
jelaslah Wan Ali Wan Nuh tidak pernah mengarang mahu pun
terlibat dengan penghasilan Ringkasan Chetera Kelantan.
Namun, nama Wan Ali ada tercatat
dalam Hikayat Seri Kelantan iaitu di hujung baris
ke-8 di halaman akhir manuskrip tersebut. Mungkin
manuskrip inilah yang sebenarnya dimaksudkan oleh
Allahyarham Wan Mansor. Salinan halaman akhir manuskrip
tersebut dipaparkan di bawah:
 
Nama
Wan Ali Pekan tercatat pada halaman akhir
manuskrip
Versi ruminya
baris demi baris adalah seperti di bawah:
bahasa Siam.
Itulah perintahan atas negeri Kelantan. Itulah halnya
yang tiada dapat
hendak di-katakan lagi. Demikianlah adanya. Telah
selesai-lah ini chetera pada malam Raba’a 9 haribulan
Rabiul awal tahun 1332
pada waktu
jam pukul 9 malam (di hadapan Wan Ali bin Wan
Yusof …………).
Dan ini chetera dua, saya buat satu, iaitu saya ambil
daripada
chetera Raja Muda
satu, yang membawa kepada sayanya Tuan Guru Haji
Awan Kenali, dan yang akhir ini saya dapat daripada
Wan Ali Pekan,
iaitu ia dapat daripada Nik Seri Paduka,
sangat-sangat betul.
Menurut
Nik Mohamed Nik Mohd Salleh,
“Hikayat
Seri Kelantan mengandungi 105 halaman, 19 baris pada
setiap halaman, berukuran 15.5 x 20.5 sentimeter dan
tulisannya terang. Naskhah asal manuskrip ini pernah
disimpan oleh almarhum Haji Nik Mahmud bin Ismail (Dato’
Perdana Menteri Paduka Raja) Menteri Besar Kelantan dari
tahun 1920 hingga tahun 1949 Masihi. Kemudian disimpan
oleh anaknya yang bernama Nik Mustapha Fadhil bin Haji
Nik Mahmud (Dato Seri Amar Raja) bekas pegawai tadbir
negeri Kelantan dan Dato Maharajalela di Istana Negara
Kuala Lumpur. Penulis difahamkan iaitu pada akhir tahun
50-an naskah asal hikayat ini telah diserahkan kepada
Perpustakaan Universiti Malaya di Singapura.
Mengikut catatan oleh pengarangnya yang tiada diketahui
namanya, “Hikayat Seri Kelantan” adalah gabungan dari
dua sejarah atau hikayat kepunyaan Raja Muda dan Nik
Yusof.
Hikayat Seri Kelantan menceritakan sejarah negeri
Kelantan daripada zaman ketika negeri yang pada masa ini
dipanggil Kelantan diperintah oleh seorang Ratu atau
Raja Perempuan bernama Che’ Siti Wan Kembang sehingga
kepada tahun 1900 Masihi apabila Long Senik bin Long
Kundor atau Long Senik bin Sultan Muhamad III menjadi
raja pemerintah Kelantan menggantikan almarhum Sultan
Mansur.
Walau
bagaimana pun timbul tanda tanya dan kesamaran di
kalangan ahli sejarah dan para pengkaji perihal penulis
sebenar manuskrip ini. Misalnya, Nik Mohamed Nik Mohd
Salleh percaya bahawa ianya dikarang oleh Wan Ali Wan
Yusof yang dikenali sebagai Wan Ali Pekan. Katanya:
“Adalah dipercayai bahawa ‘Hikayat Seri Kelantan”
telah disusun atau dikarang oleh Wan Ali bin Wan Yusof
yang lebih dikenali dengan panggilan Wan Ali Pekan
kerana beliau berasal dari Kampung Pekan, Wakaf Bharu,
Tumpat.”
Nik Mohamed juga menyatakan Wan Ali
Wan Yusof ini turut dikenali sebagai Wan Ali Kutan.
Sekiranya Wan Ali Wan Yusof dikenali sebagai Wan Ali
Kutan, ini jelas menunjukkan bahawa beliau berasal dari
Kutan dan bukannya dari Pekan (Pasir Pekan).
Setengah pengkaji pula menyatakan
penulis sebenar Manuskrip Hikayat Seri Kelantan tidak
diketahui identitinya.
Mohd. Taib Osman misalnya
berpendapat bahawa:
“…, siapa yang menulis atau menyalin naskhah ini
sa-benarnya tidak di-ketahui, ia-itu ‘saya’ yang
di-hujong naskhah ini maseh menjadi tanda tanya.”
Pandangan Mohd. Taib ini bersandarkan kepada catatan
akuan penulis naskhah itu bahawa beliau menulis di
hadapan Wan Ali bin Wan Yusof. Menurut Mohd Taib, Wan
Ali bin Wan Yusof ini merujuk kepada orang yang sama
yang dicatatkan sebagai Wan Ali Pekan. Andaian ini
dibuat beliau berdasarkan kenyataan Y.M. Tengku Khalid
dan juga Sa’ad Shukry
bahawa Wan Ali Pekan adalah gelaran kepada Wan Ali Wan
Yusof kerana beliau merupakan seorang guru agama di
Pasir Pekan, Kelantan.
Ahmad Ramizu Abdullah
dalam kajian beliau juga tidak membuat penemuan baru
tentang penulis sebenar Hikayat Seri Kelantan. Beliau
setakat mengulangi pandangan yang diutarakan oleh Mohd.
Taib Osman ini.
Kesimpulan
Sekiranya diamati pengakuan penulis Hikayat Seri
Kelantan pada halaman terakhir tersebut, kita mendapat
gambaran bahawa Wan Ali Wan Yusof dan Wan Ali Pekan
adalah individu yang berlainan. Jelas daripada pengakuan
penulis misteri yang ‘mengarang’ atau ‘menyusun’ Hikayat
Seri Kelantan bahawa Hikayat tersebut selesai ditulis
dengan bersaksikan Wan Ali Wan Yusof (nama ini kelihatan
terpotong seperti yang dapat dilihat pada salinan yang
disiarkan dalam monograf Warisan Kelantan IX seperti di
atas).
Penulis
misteri ini seterusnya mengakui bahawa sebahagian sumber
maklumat sejarah Kelantan itu diperolehi beliau melalui
Wan Ali Pekan. Mustahil seorang penulis itu memberikan
nama yang berlainan untuk merujuk kepada orang yang sama
tanpa sebab yang munasabah lebih-lebih lagi disaksikan
sendiri oleh empunya diri, Wan Ali Wan Yusof. Secara
kebetulannya kedua-dua individu bernama Wan Ali dan ini
tidak boleh membawa kepada kita untuk membuat rumusan
bahawa nama dan gelaran itu merujuk kepada orang yang
sama. Malah amat munasabah untuk dirumuskan bahawa
penulis misteri itu sengaja memberikan nama penuh kepada
Wan Ali Wan Yusof dan meletakkan gelaran Wan Ali Pekan
kepada Wan Ali Wan Nuh untuk membezakan antara kedua
individu ini serta mengelakkan dari sebarang kesamaran
dan kekeliruan pembaca. Dengan ini tertolaklah andaian
yang dibuat oleh para pengkaji sebelum ini tentang
identiti Wan Ali Pekan.
Menurut
Wan Mohd Hazim
yang mengkaji sejarah Mukim Pekan, tiada orang yang
dikenali sebagai Wan Ali Pekan di zaman itu melainkan
Wan Ali Wan Nuh yang sememangnya dikira tokoh dari Mukim
Pekan yang mempunyai hubungan istimewa dengan Istana
Kelantan. Setakat kajian penulis, nama Wan Ali Wan Yusof
yang dikatakan seorang guru agama dari Pasir Pekan itu
masih belum dapat dikenal pasti apatah lagi apabila
beliau juga dikatakan turut dikenali sebagai Wan Ali
Kutan iaitu bersempena daerah Kutan yang kedudukannya
terasing dari Mukim Pekan atau Pasir Pekan.
Namun
apa yang pasti Wan Ali Wan Nuh tetap memberikan
sumbangan dalam penulisan Hikayat Seri Kelantan
sekiranya Wan Ali Pekan itu hanya sanya merujuk kepada
beliau. Hakikat ini sekali gus dapat merungkaikan
kekeliruan dan kesamaran yang timbul di kalangan sarjana
yang mengkaji identiti Wan Ali Pekan. Menurut cerita
yang diperolehi oleh Wan Mohd Hazim, Wan Ali Wan Nuh @
Wan Ali Pekan telah menerima titah perintah daripada Ke
Bawah DYM Sultan untuk berusaha menghasilkan kitab
sejarah Kelantan dan atas dasar itu beliau mengumpulkan
bahan dan mengupah orang tertentu untuk menyalin dan
mengarangnya. Hikayat Seri Kelantan juga merupakan
antara rujukan utama Dato Perdana Menteri Paduka Raja
untuk mengarang Ringkasan Chetera Kelantan pada
tahun 1934 yang dijadikan teks pengajian murid-murid
sekolah seluruh Negeri Kelantan ketika itu.
Akhirnya, beberapa persoalan yang masih belum terjawab.
Antaranya, siapakah penulis sebenar Hikayat Seri
Kelantan? dan kenapakah nama Wan Ali Wan Yusof kelihatan
dipotong pada manuskrip yang disiarkan dalam Monograf
Warisan Kelantan IX? Mungkin persoalan kedua ini akan
terjawab sekiranya penulis berkesempatan menemubual
penulis rencana dalam monograf tersebut iaitu Dato’ Nik
Mohamed Nik Mohd Salleh yang merupakan Naib Pengerusi
Persatuan Sejarah Malaysia. InsyaAllah.
Wallahu’alam
|