|
SEJARAH RUMAH WAKAF DI SULEIMANIAH, MAKKAH, ARAB
SAUDI
|
Oleh Wan Zakaria b. Wan Sulaiman
Ketahuilah oleh sekalian anak cucu
keturunan daripada datuk nenek kita yang bertiga beradik
bahawa bahawa datuk nenek kita ada meninggalkan kepada kita
sebuah rumah wakaf di bawah takrif Wakaf Khas di Kota Makkah
Al-Mukarramah, Saudi Arabia bagi diwarisi turun-temurun dan
dimanfaatkan semasa kita berada di Tanah Haram sama ada kerana
menunaikan Haji, mengerjakan Umrah, menuntut ilmu atau
sebagainya.
Untuk pengetahun dan makluman jua
dengan ini dipaparkan sedikit sebanyak sejarah Rumah Wakaf
tersebut sebagaimana berikut:
1. Muqadimah:
Ada diriwayatkan bahawa suatu ketika
Allahyarham Tok Wan Ali benar-benar berniat (bernazar) hendak
mewakafkan sebuah rumah sebagai Rumah Wakaf di kota Makkah.
Boleh jadi hasrat atau ilham itu timbul oleh keranan pada masa
itu sudah ada beberapa orang dari kalangan keluarga kita yang
menuntut di kota Makkah dan pada hematnya mungkin Kota Makkah
kelak akan menjadi tempat tumpuan oleh keluarga kita untuk
menuntut ilmu. Harapan beliau mengadakan Rumah Wakaf ialah
untuk memberi kemudahan bagi menarik minat dan menggalakkan
anak cucu keturunannya pergi dan menuntut ilmu ke Makkah.
Hasrat yang tersirat tidak tercapai
dan termakbul atau nazar tersebut tidak sempat disempurna dan
ditunaikan sebelum beliau menghembus nafas terakhirnya oleh
kerana wang yang disediakan untuk mengadakan Rumah Wakaf
tersebut digunakan untuk membina surau di kampong surau, Pasir
Pekan. Boleh jadi niatnya terubah dan terpinda oleh kerana
terpengaruh dengan desakan dan suasana keadaan setempat yang
benar-benar menghendaki kepada sebuah bangunan untuk surau
pada masa itu. Oleh hal yang demikian wang yang ada digunakan
untuk membina bangunan surau yang mana sekarang masih ada
tertegak di samping bangunan masjid Pasir Pekan sekarang ini.
Surau tersebut telah dibina kira-kira pada tahun 1926 iaitu
selepas peristiwa yang bersejarah iaitu berlakunya banjir
besar Bah Air Merah.


Bangunan Surau lama Pasir Pekan yang dibina pada tahun 1926
menggunakan wang yang asalnya disediakan oleh Wan Ali untuk
mengadakan rumah wakaf di Mekah .
Selain dari itu, bagi menguatkan
bukti hasrat dan hajatnya sehingga ada diriwayatnya, kononnya
ada salah seorang dari keluarga kita telah diberi mimpi bahawa
beliau diperlihatkan dalam mimpinya jasad Allahyarham Tok Wan
Ali terapung-apung di permukaan air di dalam sebuah sungai.
Pada beliau, mimpi seperti itu agak luar biasa dan menjadi
tanda tanya. Lalu diceritakan kepada seorang ulamak akan mimpi
tersebut. Bila ditadbir oleh ulamak tersebut, beliau
berpendapat mungkin ada sesuatu hasrat atau hajat yang begitu
tinggi dan besar yang belum tercapai ataua belum dapat
disempurnakan oleh Allahyarham semasa hayatnya. Oleh hal yan
demikian waris-waris sama-sama cuba mengingati atau menyingkap
kembali dengan kisah-kisah atau peristiwa-peristiwa yang lalu.
Justeru dari itu, maka terlintaslah bahawa mingkin, besar
kemungkinan boleh jadi hasrat dan azam hendak mengadakan Rumah
wakaf di kota Makkah yang tidak tercapai atau terkabul.
Apabila dipohon pendapat para
alim-ulamak berhubung dengan hasrat atau azam tersebut sama
ada patut disempurnakan atau tidak, pihak para alim ulamak
berpendapat eloklah supaya disempurnakan supaya apa yang
dihajat dan dihasratkan tercapai dan terkabul. Dengan hal yang
demikian, waris-waris berasa bertanggung-jawab di atas hasrat
atau azam beliau tersebut dan membuat keputusan akan
menyempurnakannya.
Bagi menyempurna dan memenuhi hasrat
dan azam tersebut, maka mahu tidak mahu mereka terpaksa
berkorban khususnya dari aspek mengumpul sumber kewangan untuk
membiayainya. Bagi mencapai tujuan tersebut mereka telah
berjemak-kira dan bermuafakat di antara mereka sesama mereka,
maka dengan sebulat suara bersetuju mana-mana yang mewarisi
Kebun Teluk Kuala Nal menajanya dari hasil pendapatan bulanan
Kebun Teluk Kuala Nal.
2. RUMAH WAKAF YANG PERTAMA:
Pada akhir tahun 1938, melalui
Allahyarham Haji Wan Adam dengan dibantu oleh Pak Nik Zain
telah dapat dibeli sebuah rumah 4 tingkat yang agak selesa.
Rumah tersebut terletak di Qasyasiah, iaitu berhadapan dengan
rumah Syeikh Ali Maliki, iaitu seorang guru yang terkenal di
Masjidil Haram. Pada masa itu Allahyarham Haji Wan Adam baru
sahaja berkahwin dengan Hajjah Rugayah. Setelah dibeli,
Allahyarham Haji Wan Adam berpindah dan tinggal di situ. Pada
Tahun 1940, beliau pulang ke tanah air.
Rumah tersebut tidak dapat bertahan
lebih lama oleh kerana Kerajaan Saudi mengambil balik kawasan
itu untuk dijadikan sebagai kawasan perdagangan. Oleh itu,
kawasan itu diambil balik dan rumah-rumah di kawasan tersebut
diruntuhkan. Pampasan dan ganti rugi diberi.
Urusan penerimaan wang pampasan dan
ganti rugi bagi rumah tersebut terpaksa diurus oleh Pak Nik
Zain oleh kerana Allahyarham Haji Wan Adam berada di tanah air
dan seterusnya mengikut peraturan dan undang-undang Kerajaan
Saudi, seorang yang bukan kerakyatan (tidak mempunyai iqamah)
tidak boleh menguruskannya, sama ada menerima bayaran pampasan
dang anti rugi, membeli tanah atau rumah atau sebagainya.
3. RUMAH WAKAF YANG KEDUA:
Dari wang pampasan dan ganti rugi
tersebut, Pak Nik Zain membeli sebuah rumah yang terletak di
kawasan di Suib Amir sebagai gantinya pada tahun 1956. Rumah
tersebut tidak begitu selesa dan uzur. Tambahan pula didiami
oleh satu keluarga Arab yang bermasaalah. Oleh hal yang
demikian, pada tahun 1957, rumah tersebut dijual dengan harga
SR35,000.00.
4. RUMAH WAKAF YANG KETIGA:
Dari wang jualan rumah yang kedua
sebanyak SR35,000.00 pada tahun 1958 dibeli pula sebuah rumah
yang terletak di Suleimaniah. Dengan terbelinya rumah ini,
Allahyarham Haji Wan Adam minta jasa baik Pak Nik Zain dan
Syeikh Abd. Rahim supaya ,mengadakan geran dan mendaftarkannya
dengan Kementerian Wakaf. Didapati begitu sekali susah dan
rumit untuk menyediakan geran. Namun demikian, dengan daya
usaha Pak Nik Zain dan Syeikh Abd. Rahim telah dilantik
sebagai nazirnya.
Di dalam geran tersebut menyata
dengan jelas bahawa rumah tersebut telah dibeli oleh Pak Nik
Zain dan mewakafkannya balik untuk kepentingan dan
dimanfaatkan oleh anak cucu kepada zuriat keturunan datuk
nenek kita yang bertiga beradik. . Pak Nik Zain bersama-sama
dengan Syeikh Abd. Rahim telah dilantik sebagai nazirnya.
Apabila Allahyarham Haji Wan Adam
meninggal pada 8 Julai 1957, semenjak dari tarikh tersebut
urusan pengurusan Rumah Wakaf diambil alih oleh Allahyarham
Haji Wan Sulaiman.
Pada peringkat awalnya rumah
tersebut dibeli tidak boleh diduduki, oleh kerana tidak ada
kemudahan bekalan api dan air disebabkan rumah itu tidak
didaftar. Namun demikian rumah itu, diduduki oleh Tuan Haji
Nik Mustapha dan Tuan Haji Ahmad Batu Tiga pada tahun 1958
atas persetujuan Hajjah Wan Hapsah dan Hajjah Nik Yatimah.
Pada tahun 1963 di atas daya usaha
Pak Nik Zain dan Syeikh Abd. Rahim maka geran bagi rumah
disedia dan didaftarkan dengan Kementerian Wakaf Saudi.
Justeru dari itu, api dan lain-lain kemudahan dapat diadakan
dan setelah itu barulah Allahyarham Haji Wan Hassan berpindah
dan tinggal di situ.
5. TAKRIF WAKAF KHAS:
Telah dimaktub dan dinyatakan dengan
jelas di dalam geran (hujjah) siapa yang berhak menduduki dan
menghuninya. Oleh hal yang demikian pada hemat kita dan pada
lazimnya wakaf yang sedemikian rupa bolehlah ditakrif sebagai
wakaf khas.

Salinan Geran Rumah Wakaf
6. HUBUNGAN NAZIR DENGAN WARIS DI
SINI:
Semasa Allahyarham Haji Wan Adam
masih ada, beliau telah mengambil inisiatif menghubungi Pak
Nik Zain dan Syeikh Abd. Rahim. Setelah beliau meninggal pada
tahun 1957, Allahyarham Haji Wan Sulaiman mengambil alih tugas
tersebut.
Mereka sentiasa menghubungi di
antara mereka dari masa ke semasa. Hubungan tersebut tidak
putus-putus dan bertali arus. Manakala Allahyarham Haji Wan
Sulaiman meninggal pada tahun 1972, tugas tersebut tidak
diambil alih oleh sesiapa. Maka terputuslah hubungan dan
lenyaplah cerita Rumah Wakaf ini hamper 20 tahun.
7. MENCUNGKIL KEMBALI HAL RUMAH
WAKAF:
Di akhir-akhir ini, atas daya usaha
dan inisiatif yang diam bil dan dijalanakan sunguh-sungguh
oleh:
Haji Wan Yusuf b. Haji
Wan Abdul Samad
Haji Wan Idris b. Haji
Wan Taib
Haji Wan Abdullah b.
Haji Wan Yusoff
Haji Wan Musa b. Haji
Wan Sulaiman
Haji Wan Mansor b. Haji
Wan Sulaiman
Hajjah Wan Yatimah bt.
Haji Wan Yusoff
Hajjah Wan Saidah bt.
Haji Mohamed
Haji Wan Jamin b. Haji
Wan Mahmood
Wan Zakaria b. Haji Wan
Sulaiman
dapatlah dicungkil, dikembang dan
subur kembali ingatan kepada Rumah Wakaf dan merintis jalan
bagi menghubungi balik nazir dan anak-anak bekas nazirnya.
8. RUMAH WAKAF SEKARANG:
Rumah Wakaf tersebut terletak di
Suleimaniah, Kota Makkah al-Mukarramah.
 
Kiri: Lorong sempit dan bertangga naik menuju ke rumah wakaf.
Gambar dirakam dari jalan besar dari Jeddah menghala ke
Masjidil Haram. Kanan: Rumah wakaf 2 tingkat dilihat dari atas
tebing. Kelihatan seorang pemuda berdiri di pintu rumah wakaf.
Rumah wakaf ini diapit oleh bangunan hotel yang dikatakan
pernah berhasrat untuk membeli rumah wakaf tersebut untuk
dijadikan tempat letak kereta.
Pada masa rumah itu dibeli,
keletakannya agak tersorok dan terpencil dan tinggal terbiar
serta penuh dengan sampah sarap. Tidak ada bekalan api dan
tidak ada siapa yang hendak menghuninya. Oleh kerana rasa
bimbang rumah tersebut akan dihuni oleh penghuni yang tidak
diingini atau tidak direstui, khususnya dari orang Arab, oleh
itu pada tahun 1963 Allahyarham Hajjah Wan Hapsah bersama-sama
dengan Hajjah Nik Yatimah semasa berada di Mekkah telah
meninjau rumah tersebut, menyedari rumah tersebut tinggal
terbiar dan bagi menfaatkannya mereka mengesyorkan kepada Pak
Nik Zain supaya meminta Allahyarham Haji Wan Hassan menduduki
dan mendiaminya serta mengawasi dan menyeliakannya. Justeru
dari itu, mulai daripada tahun 1963 Allahyarham Haji Wan
Hassan dan keluarganya menduduki dan mendiaminya.
 
Kiri:
Laluan masuk dalam rumah wakaf. Kanan: Ruang tamu di tingkat
atas.
Oleh kerana Allahyaram Haji Wan
Hassan telah menduduki dan mendiaminya begitu lama maka pada
masa itu tidak timbul langsung rumah tersebut sebagai Rumah
Wakaf dan sebaliknya rumah tersebut lebih dikenali sebagai
rumah Haji Wan Hassan.
Di samping itu Allahyarham Haji Wan
Hassan telah membeli sebuah rumah di kawasan Kaaki yang
terletak di luar kawasan Kota Makkatul Mukarramah. Dengan
demikian beliau selalulah berulang alik ke rumah barunya dan
akhirnya beliau menetap terus di Kaaki dan Rumah Wakaf tinggal
terbiar, tidak terurus dan terjaga sekali lagi. Terbiar kali
kedua ini terus terbiar hinggalah ke hari ini.
Pada tahun 1991 Allahyarham pulang
ke Kelantan dan menyampaikan khabar berita dalam satu
perjumpaan yang diadakan di Teratak Alimi bahawa di sebelah
Rumah Wakaf ini dibangunkan sebuah hotel dan memandangkan
rumah tersebut buruk, uzur dan tinggal terbiar, tuan ampunya
hotel berhasrat untuk membeli tapaknya untuk dijadikan sebagai
kawasan lapang dan tempat letak kereta. Pada hemat Allahyarham
Haji Wan Hassan beliau lebih berminat meruntuh dan menjualkan
tapaknya kepada pemaju hotel berkenaan dengan harga yang
ditawarkan sebanyak SR450,000 dan dengan wang tersebut beliau
cadangkan supaya dibeli rumah lain yang lebih besar, selesa
dan lebih elok yang terletaknya jauh sedikit di luar Kota
Mekkah. Lagi pun bimbang, rumah itu tidak boleh dibiarkan
dalam keadaan demikian, nanti akan dimusnah dan tapaknya
diambil oleh Pihak Berkuasa Kota Mekkah. Oleh hal yang
demikian beliau meminta persetujuan kita di sini.
Hasil dari perjumpaan yang diadakan
dan maklumat yang disampaikan telah menyedarkan kita bahawa
Rumah Wakaf itu sebenarnya masih wujud dan berfungsi. Setelah
berbincang keputusan telah dibuat iaitu kita tidak akan
meruntuhkan rumah tersebut atau menjualnya. Kita seberapa
boleh akan cuba mengekalkan tapak itu dan memajukannya.
Bermula dari peristiwa itulah jasa
baik Syed Zain diminta supaya meninjau dan berunding
bersama-sama dengan Syed Mohamed dari Jeddah untuk mencari
jalan bagaimana hendak memajukannya. Atas permintaan tersebut
Syed Zain telah meninjau dengan Kementerian Wakaf bagi
mempastikan kedudukan statusnya. Melalui tinjauan Syed Zain
didapati memang rumah itu ada geran (Hujjah) dan telah
didaftar dengan Kementerian Wakaf Saudi.
9. WARIS GANTI YANG BERHAK
Mulai dari tarikh tersebut dan
melalui Hujjah itulah kita sedar bahaawa kita yang berhak di
atas Rumah Wakaf tersebut dan bagi meyakinkan semua pihak kita
perlu membuktikan yang kita ini adalah zuriat keturunan
daripada datuk nenek kita bertiga beradik. Justeru dari itu
Allahyarham Haji Wan Mansor mengesyorkan, bagi membuktikan
yang kita ini adalah anak-cucu zuriat keturunan dari datuk
nenek kita bertiga beradik, hendaklah disediakan satu watiqah
yang disah dan diperakukan sah oleh Imam Mukim, Qadhi Besar
dan Kementerian Wakaf Arab Saudi bagi makluman dan tindakan
sewajarnya.
Sehubungan dengan itu atas daya
usaha Allahyarham Wan Mansor dapatlah disediakan satu watiqah
dan telah disah dan seterusnya diperakukan oleh Imam Mukim,
disah dan diperakukan oleh Al-Fadhil Dato’ Qadhi Besar
Kelantan, seterusnya disah dan diperakukan pula oleh
Kementerian Luar Negeri. Watiqah tersebut didaftarkan dengan
Kementerian Wakaf Arab Saudi. Dengan demikian sekarang kita
anak-cucu di sini telah disah dan diperakukan sebagai waris
gantinya yang sah. Selain dari itu Haji Wan Yusoff bin Haji
Wan Abd. Samad dan Allahyarham Wan Mansor bin Haji Wan
Sulaiman dipersetujui dilantik sebagi wakil kita dari aspek
pengurusannya.
Pada 14 hingga 28 Disember 1991 Haji
Wan Yusoff dan Allahyarham Wan Mansor atas tajaan dari wang
Kebun Teluk Kuala Nal telah berangkat ke Mekkah untuk mengurus
rumah wakaf tersebut dan bagi mendapat salinan Hujjahnya.
Selain dari itu cuba meninjau bagaimana hendak memulih dan
memajukannya.
Pada kita lebih berminat supaya
pemaju memajukannya atas dasar pawah iaitu dengan pemaju
membina bangunan tinggi bertingkat-tingkat dan dua tingkat
daripadanya dikhaskan untuk kita dan selebihnya bolehlah
diambil manfaat darinya oleh pemaju. Setelah cukup tempoh,
lazimnya 15 tahun, bangunan tersebut diserah balik kepada
kita. Tetapi malang tidak ada pemaju yang berminat.
Pada bulan Oktober 1994 melalui
Azami Haji Wan Yusoff telah disampaikan khabar berita
mengatakan bahawa rumah tersebut telah dibaikpulih oleh Encik
Suhaimi sebahagiannya dan diduduki sedangkan kita di sini
tidak tahu-menahu langsung dan tidak pernah dihubungi oleh
sesiapa pun untuk membaikpulihkannya. Kita rasa terkilan dan
tertanya-tanya.
Oleh itu bagi mempastikannya, pada 8
hingga 21 Oktober 1994 Haji Wan Yusoff bersama-sama dengan
Haji Wan Abdullah berangkat ke Mekkah untuk mengerjakan Umrah
dan di samping itu bagi meninjau dan mempastikan berhubung
dengan Rumah Wakaf tersebut.
Mereka dapati Rumah Wakaf tersebut
telah dibaikpulih sebahagiannya oleh Encik Abdul Hadi Haji Mat
dengan perbelanjaannya sendiri sebanyak SR35,000.00. Beliau
telah menduduki rumah tersebut dan akan memanfaatkannya untuk
mengimbuh balik wang yang dibelanjakannya. Bagi menguruskannya
Haji Wan Yusoff dan Haji Wan Abdullah telah melantik beliau
sebagai Penyelianya.
 
Kiri: Penjaga dan penghuni rumah wakaf, Encik Suhaimi. Kanan:
Encik Suhaimi, kanan sekali, ketika bergambar bersama jemaah
haji yang bertandang di hadapan rumah wakaf pada 24 Disember
2007. Beliau yang berasal dari Tal Tujoh, Pasir Mas dan sudah
mendapat taraf pemastautin tetap Kerajaan Arab Saudi itu
mengusahakan perniagaan katering untuk menyara hidup beliau
sekeluarga.

Perancangan Projek Pembesaran Kompleks Masjidil Haram yang
sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan Saudi yang melibatkan
perobohan bangunan-bangunan di sekitar Masjidil Haram.
Dikatakan Rumah Wakaf ini termasuk dalam kawasan projek yang
digazetkan. Ini bermakna Kerajaan Saudi akan merobohkan rumah
wakaf tersebut dan wang pampasan yang dianugerahkan kepada
pemilik wakaf.

Rumah Wakaf terletak di permulaan Jalan Abdullah Bin
Al-Zubair
10. KESIMPULAN
Dengan berkat doa dari datuk nenek
kita akhirnya niat dan hasrat mereka dapat juga sampai ke
tangan anak cucunya walau pun terpaksa mengambil masa yang
begitu lama dan menempuh liku-liku jalan yang rumit. Justeru
itu kita boleh dikatakan cukup-cukup bernasib baik, kalau
tidak rumah itu akan lesap entah ke mana, akan hilang begitu
sahaja dan yang akan dapat dimanfaatkan hanya nama dan
sejarahnya sahaja.
Dengan adanya salinan Hujjah di
tangan kita maka yakinlah kita bahawa Rumah Wakaf tersebut
masih wujud dan kita yang berhak di atasnya.
Rumah Wakaf yang diwakafkan oleh
datuk nenek kita untuk kita sudah dibaik pulih. InsyaAllah
bolehlah dimanfaatkan sekarang.
Kita sebagai waris ganti telah
diperakukan dan mendapat pengiktirafan dari semua pihak yang
berkenaan dan bersangkutan.
Itulah sedikit sebanyak sejarah
berhubung dengan Rumah Wakaf untuk pengetahun dan makluman
kita semua. Oleh itu sama-samalah kita memanfaatkannya semoga
apa yang dihasratkan oleh datuk nenek kita tercapai.
Perlu dan sayugia diingatkan bahawa
sebarang hubungan berkaitan dengan Rumah Wakaf hendaklah
melalui Jawatankuasanya yang dilantik dari semasa ke semasa.
Wassalam
WAN ZAKARIA BIN HAJI WAN SULAIMAN
Termaktub di Teratak Kubang Labu,
Kampung Dalam Kota,
Pasir Pekan
Kelantan
Bertarikh: 24 Rejab
1415 27 Disember 1994
Nota: Semua gambar serta
keterangannya ditambah oleh penyunting dan bukan dari artikel
penulis asal.
Nota:
Surat –surat yang dihantar oleh Pak Nik Zain kepada Wan Hafsah
bt Wan Ali kini disimpan salinan asalnya oleh Tengku
Sofiyuudden b Tengku Ahmad, manakala salinan penduanya
tersimpan di Arkib Negara Malaysia.
|