|
Wan Adam
TOK GURU HAJI WAN ADAM
(1909 – 1957)
Oleh: Ismail Awang
Seorang ulama’ yang
berusaha mengembangkan pengajian Islam melalui sekolah,
berusaha dan bergiat menyedarkan rakyat untuk kemerdekaan dan
pembangunan ekonomi serta pengetahuan orang kampong, di Pasir
Pekan khususnya ialah al-Fadhil Tuan Guru Haji Wan Adam bin
Wan Abdullah. Beliau bukan sahaja mengorbankan tenaganya
tetapi juga harta bendanya.
Kelahirannya
Haji Wan Adam bin Wan
Abdullah dilahirkan pada tahun 1909M /1327H di Kampung Surau,
Pasir Pekan, Kelantan oleh ibunya, Wan Setajar (Siti Hajar)
binti Wan Abu Bakar (Imam Pasir Pekan yang pertama). Bapanya
Wan Abdullah bin Wan Nuh pada mulanya adalah seorang peniaga
kemudiannya menjadi pemilik kebun getah di Kuala Nal yang
akhirnya menjadi estet (ladang).
Pendidikannya
Pengajian al-Quran
merupakan asas pelajaran di zaman itu. Beliau sungguh
beruntung kerana lahir dari kalangan keluarga yang sudah
mempunyai asas-asas ugama – datuk dari sebelah ibunya ialah
bekas Imam pertama di Pasir Pekan. Beliau telah khatam al-Quran
dengan Haji Wan Ahmad b. Haji Wan Abdul Rahman – seorang guru
al-Quran di Kampung Surau itu.
Setelah tamat al-Quran
beliau belajar nahu dengan Tuan Guru Haji Abbas di Kota
Kubang Labu, tetapi tidak lama di sini beliau bersama-sama
Haji Wan Muhammad Saghir Wan Kono’ belajar pula di Masjid
Muhammadi, Kota Bharu. Beliau terpaksa berulang-alik dengan
perahu kecil, terkadang pernah terbalik sehingga basah seluruh
pakaian dan kitab-kitab, namun mereka tetap juga berdayung
sehingga beberapa tahun. Di sini beliau pernah belajar dengan
Haji Yaakub Haji Ahmad Lorong Gajah Mati, Haji Ismail Haji
Sulong, Haji Ismail Palekbang dan Haji Ahmad Kedah. Sebelum
belajar di Masjid Muhammadi beliau juga belajar kepada Tuan
Guru Che Mat bin Haji Taib,
Hujung Pasir, Pasir Pekan.
Setelah belajar di
Masjid Muhammadi, beliau bersama-sama seorang kawannya bernama
Haji Nik Muhammad bin Haji Wan Abdul Rahman telah pergi
belajar di Kemuning, Machang – kepada Tok Kemuning (Tuan Guru
Haji Ismail) selama hampir setahun. Di sanalah beliau mendapat
tahu bahawa Haji Ahmad anak Tok Kemuning hendak ke Mesir.
Sahabatnya, Nik Muhammad Wan Abdul Rahman telah mendorongnya
supaya beliau melanjutkan pelajaran ke Mesir. Atas dorongan
itu beliau bersetuju, kemudian memberitahu Tok Kemuning. Tok
Kemuning yang telah bermukim lama di Makkah dan begitu
terpengaruh dengan Makkah dan Mesir amat bersetuju atas
cadangan Haji Wan Adam itu.
Pada 8 Oktober 1925
bersamaan 1344 Hijriah, beliau bersama tiga orang lagi dari
Kemuning itu bertolak ke Mesir. Mereka itu ialah:
1.
Haji Ahmad b. Haji Awang Kemuning
( Haji Ahmad Maher)
2.
Haji Mustafa b, Haji Che Tengah,
Limau Hantu (meninggal 1346H di Mesir )
3.
Nik Jaafar b. Haji Nik Wan
Dari sudut tarikh
lahirnya nampak jelas bahawa Haji Wan Adam lebih muda dari
Haji Ahmad Maher 3 tahun sahaja.
Tetapi sejak di Kelantan mereka bersama-sama menghadapi
guru-guru yang sama seperti Haji Yaakub Lorong Gajah Mati dan
lain-lain di Masjid Muhammadi, sehingga beliau ke Mesir dan
kembali ke Kelantan pun menjadi sahabat karib sehingga
meninggal.
Haji Wan Adam belajar
di Mesir, kemudian menyambung pelajarannya ke Makkah al-Mukarramah
pula. Di sini beliau mendapat kawan-kawan baru yang juga
datang dari Kelantan seperti Haji Nik Abdul Rahman Abdullah,
Haji Nik Abdul Rahman Nik Kub dan sebagainya. Mereka dikatakan
telah juga belajar dengan Haji Wan Adam di Makkah.
Di Makkah al-Mukarramah
beliau telah berjaya mengarang sebuah buku bernama “Zaadul
Haj” bersama-sama Syaikh Hasan Nor Patani. Buku ini
menjadi panduan kepada orang-orang mengerjakan haji dan
dicetak kali pertama di Matba’ah Syarqiah, Jeddah,
tahun 1357 H – 1938 M.
Selain dari panduan
orang-orang haji, beliau juga telah memberi beberapa nasihat
sewaktu berada di Makkah supaya orang-orang yang mengambil
haji sentiasa dalam keadaan sihat dan baik. Di dalam buku
yang setebal 106 muka itu juga dimuatkan sejarah pendek Masjid
al-Haram, Perang Khandak, Badar, ‘Ain Zabidah, Masjid Nabawi
dan sebagainya.
Beliau juga telah
mengarang risalah-risalah khusus untuk mengajar dan
khutbah-khutbah Jumaat. Di dalam risalah akhlaknya beliau
menulis:
“Hidup sebagai
kehidupan orang-orang alim yang mulia dan kamu meninggalkan
kehidupan yang sebagaimana kehidupan orang-orang jahil yang
hina itu”
Di Makkah al-Mukarramah
beliau belajar di Madrasah al-Falahiah. Beliau telah mendapat
Shahadah an-Najah al-‘Aliah li Talamizat al-Madaris al-Falahiah,
di Makkah al-Mukarramah dalam pangkat pertama (Martabah al-Ula).
Syahadah beliau adalah siri yang ke-92 dari siri ini di
Madrasah itu.
Di dalam syahadah itu
dapat dilihat kecenderungan beliau dalam biang ilmu tafsir,
hadith, tauhid dan akhlak. Di dalam hidupnya, kesan daripada
pelajaran itu, nampak jelas sekali beliau empunyai sifat-sifat
yang mulia dan akhlak yang tinggi mengikut al-Quran dan al-Sunnah.
Beliau tidak suka bercakap banyak. Kalau ketawa, tidak
berdekah-dekah, biasanya setakat tersenyum sahaja. Tetapi
apabila didengar perkataan yang menggelikan hatinya beliau
menahan ketawa dengan menekan-nekan perutnya.
Berkahwin
Beliau telah
melangsungkan perkahwinan dengan Hajjah Nik Rogayah
bt. Haji Nik Mat yang ada hubungan darah dengan Tok Wan Ali
Kutan dan keluarganya di Patani. Darah yang mengalir padanya
diperolehi dari darah Kelantan, Pulau Pinang dan Patani.
Perkahwinan ini berlangsung pada tahun 1938.
Membuka Sekolah
Setelah mendapat
anaknya yang pertama, Wan Faridah (1939M). beliau turun ke
Tanah Melayu, kembali ke kampung tempat tumpah darahnya -
Kampung Surau Pasir Pekan. Tidak berapa bulan kemudian beliau
mengajar di surau itu. Pengajaran tidaklah berbentuk pondok
tetapi berbentuk sekolah. Dalam masa yang singkat sahaja
murid-murid bertambah ramai dan terpaksalah beliau meminta
bantuan dari sahabat lamanya, Haji Wan Muhammad Saghir Wan
Kono’. Mereka mengajar secara percuma sahaja, tanpa mengenakan
sebarang bayaran.
Kira-kira pada tahun
1940 M, beliau berpindah dari Kampung Surau ke Padang Pasir
dekat dengan Kota Kubang Labu. Di sinilah beliau mendirikan
sekolah dengan bantuan saudara-saudaranya: Haji Wan Sulaiman,
Haji Wan Taib dan bapa saudaranya , Haji Wan Abdul Samad.
Madrasah ini diberi nama “al-Madrasah al-Falahiah”
mengambil sempena sekolah tempat beliau belajar di Makkah al-Mukarramah.
Sekolah ini dibuat dua tingkat – tingkat atas dijadikan
balaisah tempat sembahyang dan di tingkat bawah tempat belajar.
Tidak lama kemudian muridnya semakin meningkat. Jadi
terpaksalah menambahkan seorang guru lagi. Sehingga saat itu
guru-gurunya ialah:
1.
Haji Wan Adam Wan Abdullah
2.
Haji Wan Muhammad Saghir Wan Kono’
dan
3.
Haji Nik Muhammad Wan Abdul Rahman
Dalam usahanya untuk
mengembangkan sekolah ini para guru terpaksa bekerja kuat.
Selain daripada mengajar, guru-guru terpaksa juga mencari
bantuan dari orang ramai. Dengan usaha yang gigih sedemikian,
bangunan sekolah dapat ditegakkan dengan baik dan
pondok-pondok (asrama sendirian) didirikan oleh para pelajar
yang datang dari negeri-negeri Pahang, Terengganu, Kedah,
Perlis, Johor dan sebagainya.
Sebagai seorang yang
pernah belajar di sekolah, maka sistem persekolahan dapat
dijalankan dengan jayanya di sekolah ini. Beliau juga pernah
berpandu kepada peraturan-peraturan Majlis Ugama Islam seperti
Peraturan Bagi al-Madrasah al-Muhammadiah al-Arabiah (Minit
Majlis 13/1937) yang dikeluarkan oleh Majlis Ugama Islam
Kelantan pada 1 Rajab 1356 bersamaan 6 September 1937.
Sistem Sekolah
Falahiah ini bermula dari Kelas 0 (kosong), dikenali dengan
nama Kelas Not. Setelah setahun dan lulus peperiksaan,
diangkat ke Darjah Satu, kemudian Darjah Dua dan seterusnya
Darjah Tiga. Semua mata pelajaran adalah dalam bahasa Arab,
termasuk geografi dan ilmu hisab.
Setelah sekolah ini
berjalan baik, maka pada 1 Januari 1943 sekolah ini diterima
sebagai sekolah Majlis Ugama Islam Kelantan.
Mengikut kenyataan
Pegawai Pelajaran Majlis Ugama Islam Kelantan bahawa urutan
sekola-sekolah Majlis ini dibuka (diterima) adalah sebagaimana
berikut:
1.
Maahad Muhammadi (Melayu)
Laki-laki – 5.8.1917
2.
Maahad Muhammadi (Perempuan) –
16.2.1932
3.
Maahad Muhammadi (Arab) – 1.4.1937
4.
Madrasah Falahiah, Pasir Pekan –
1.1.1943.
5.
Sekolah Arab Pasir Mas – 1.4.1943
6.
Madrasah Yaakubiah, Nipah, Bachok
– 1.6.1943
7.
Sekolah Arab Beris Kubor Besar,
Bachok – 26.3.1944
8.
Sekolah Arab Machang – 1.1.1949
Mengikut rekod,
guru-guru yang mengajar di Sekolah Arab Falahiah Pasir Pekan
pada bulan Mac 1946 ialah:
-
Haji Wan Mahmud Daud
(guru Arab II), gajinya $49.00
-
Haji Wan Adam Wan
Abdullah (pemangku Guru Besar), gajinya $36.00
-
Wan Muhammad Saghir
Wan Kono’ (gajinya $22.00)
-
Nik Muhammad Haji
Wan Abdul Rahman (gajinya $21.00).
Sekolah ini dilawati
oleh Pemeriksa Sekolah-sekolah Majlis, Haji Nik Abdul Rahman.
Bilangan
murid-muridnya ketika itu ialah: darjah ‘0’ seramai 17 orang,
darjah satu 25 orang, darjah dua 20 orang dan darjah tiga
seramai 13 orang.
Sekolah ini
kemudiannya berkembang dari semasa ke semasa sehingga berubah
wajah. Tanah tapak seluas dua ekar lebih, wakaf atas nama Haji
Wan Adam itu, dapat digunakan sepenuhnya untuk bangunan
sekolah, tambahan pula setelah Majlis Ugama Islam Kelantan
membangunkan bangunannya yang baru. Untuk perkembangan sekolah
ini, Haji Nik Abdul Rahman Abdullah, Haji Ahmad Maher, Haji
Nik Abdul Rahman Nik Kub, Haji Nik Muhammad Adeeb, Haji
Fadhullah Suhaimi pernah memberi syarahan-syarahan ugama,
terutama pada hari ulang tahun kelahiran Rasulullah (s.a.w).
Keitka berada di Pasir
Pekan, Haji Wan Adam telah berusaha memaju kawasan itu,
terutamanya dalam bidang ugama. Beliau selalu berpidato,
mengajar malam dan siang, mengadakan beberapa balaisah dan
menyelitkan semangat di dalam khutbahnya supaya anak-anak
diberi latihan dan pelajaran ugama. Sementara itu beliau
sendiri telah membentuk anak-anaknya dengan ajaran ugama
apabila beliau telah menghantar semua anak-anaknya dari isteri
tua ke sekolah ugama. Manakala anak dari isteri mudanya tidak
sempat beliau mendidik sendiri dengan sepenuhnya.
Di bidang politik,
beliaulah orang pertama menubuhkan cawangan UMNO di pasir
Pekan dan menjadi pengerusinya pada penghujung tahun empat
puluhan. Beliau juga mengambil bahagian cergas untuk
mengembangkan UMNO. Semangat inginkan kemerdekaan tidak kurang
juga menekankan perasaannya sehingga beliau pernah berkempen
dan memberi penerangan di masjid-masjid.
Di badang ekonomi,
beliau telah berusaha menubuhkan syarikat kilang padi dan
mengambil bahagian di dalamnya.
Ahli Dewan Ulama’
Haji Wan Adam pernah
dilantik menjadi anggota Dewan Ulama’, Majlis Ugama Islam
Kelantan. Mengikut Pengasuh bilangan 2 Kelauran 20 Jun
1946 – 21 Rajab 1365, nama-nama anggota pada masa itu ialah:
-
Sahid al-Fadhilah
Tuan Haji Ahmad Maher, Mufti Kerajaan – Yang Dipertua.
-
Alfadhil Tuan Haji
Nik Muhammad Adeeb – Naib Yng Dipertua.
-
Haji Nik Abdul
Rahman Nik Kub
-
Haji Abdullah Tahir
Haji Ahmad
-
Haji Ismail Haji
Abdul Majid
-
Haji Nik Abdul
Rahman Haji Wan Abdullah
-
Haji Wan Hasan Haji
Wan Muhammad
-
Haji Yaakub Muhammad
-
Haji Nik Hasan Haji
Nik Mat
-
Haji Wan Adam Haji
Wan Abdullah
-
Haji Ali bin Awang
-
Haji Ishak Shamsudin
-
Haji Muhammad Yusuf
(Tok Kenali)
-
Haji Muhammad Nor
Haji Ibrahim
-
Haji Muhammad Haji
Idris
-
Lebai Ni’mat Kedai
Lalat
Meninggal Dunia
Setelah berjuang untuk
menegakkan Islam dan memajukan masyarakat beliau telah
dipanggil pulang oleh Allah dalam usia yang belum begitu
lanjut. Beliau meninggal dunia pada 12 April 1957, ketika
sekolahnya sedang berkembang.
Anak-anaknya
Beliau telah
meninggalkan sebelas orang anak dari dua orang isteri. Dari
hajjah Nik Rogayah seramai tujuh orang (semuanya perempuan):
Wan Faridah, Saadiah, Asiah, Fatimah, Hafsah, Mariam dan
Zainab. Dan dari isterinya Hajjah Wan Zubaidah seramai empat
orang: Kpl Muhammad Najib, Aminah (Siti Hajar), Muhammad Farid
dan Rafeah.
Beliau juga telah
meninggalkan beberapa pusaka kepada anak-anaknya. Yang paling
banyak ialah buku-buku. Selain dari itu ada juga tanahnya di
Makkah dan ada di antaranya yang diwakafkan di Makkah yang
sampai kini masih wujud.
Murid-muridnya
Ramai murid-murid
yang telah ditinggalkan dan masing-masing mengambil bahagian
di dalam masyarakat – ada yang menjadi guru besar seperti
Cikgu Wan Abdullah Wan Sulong, Cikgu Hasan Muhammad; ada yang
menjadi Penghulu seperti Encik Hamzah; ada yang menjadi
Penggawa, pegawai polis, guru-guru ugama, mubaligh dan
sebagainya. Yang terkemuka di antara murid-muridnya ialah
Ustaz Haji Hasam Haji Saleh (pengarang dan pensyarah di
Universiti Kebangsaan Malaysia), Ustaz Abdul Fatah Ibrahim (juga
pensyarah di Universiti), Haji Muhammad Abdul Rahman (Qadhi
Tumpat), Ustaz Haji Wan Hasan Wan Daud (bekas Wakil Rakyat)
dan sebagainya.
Nota:-
P1
pada nota kaki merujuk kepada penyelenggara Buku Tokoh-Tokoh
Ulama’ Semenanjung Melayu (1), Ismail Che Daud. Manakala
P2
ialah nota yang ditambah oleh Wan Mohd Nasruddin Wan Abdullah,
wmnasruddin@gmail.com.
|